Friday, November 20, 2015

Program Kau Sumber Inspirasi Ku

 Pada 9 hingga 11 November 2015 yang lalu, aku telah terlibat menganjurkan 1 program yang istimewa di 3 institusi JKM di Melaka iaitu Sekolah Tunas Bakti Sg Lereh, Rumah Budak Laki Laki Durian Daun dan Sekolah Henrey Gurney Teluk Mas.

Hampir 500 remaja lelaki dan perempuan berumur di bawah 21 tahun telah berpeluang mengikuti program yang khas digubal untuk mereka khasnya bagi mengingatkan mereka tentang nikmat Allah swt kepada hamba hambanya.

Program dimulakan dengan bacaan surah Ar Rahman yang mempunyai 78 ayat dan lebih dari 21 kali di dalam surah ini Allah menyatakan bahawa hambanya sentiasa kufur terhadap nikmat yang dikurniakanNya. Surah ini aku baca sendiri walaupun menyedari hakikat bahawa aku bukanlah seorang Qariah dan hanya merupakan seorang hamba Allah yang sangat berminat membaca Al Quran setiap hari dalam hidupku. Semasa membaca aku menyedari bahawa di khalayak terdapat ustaz ustaz yang sangat fasih dalam membaca Al Quran tetapi aku nekad untuk terus membaca dan di akhir bacaan surah itu seperti biasa memohon ampun kepada Allah swt kerana masih terdapat kesulitan dari segi bacaan terutamanya mahraj huruf dan tajwid dalam bacaanku. selesai membaca temanku, Dato Halimah, telah bertazkirah dan mengingatkan para remaja tentang betapa murahnya Allah terhadap hambaNya dengan kurniaan yang pelbagai yang kadangkala hambaNya tidak menghargai seperti udara, yang sentiasa dicemari oleh manusia, tumbuh tumbuhan, matahari dan bulan dan bintang, pergantian malam dan siang, bukit bukau, hutan belantara, lautan di mana bertemunya air tawar dengan air masin tanpa adanya garis pemisah juga kejadian manusia sendiri yang sungguh ajaib dari setitis air mani hingga membentuk tubuh manusia dan perkembangan kehidupan seorang insan sejak lahir hinggalah menjadi warga emas. Teman ku Dato Halimah dengan penuh semangat memberikan berbagai ilustrasi tentang kemurahan hati Allah swt yang perlu kita syukuri termasuklah segala sifat yang ada di dalam tubuh manusia itu seperti mata, telinga, anggota anggota badan dan sebagainya.

Usai sesi tazkirah ini aku telah memperkenalkan seorang pemuda, Mohamed Dinie yang berusia 23 tahun cacat penglihatan kategori B2 dan bercita cita menjadi penyanyi dan sedang menanti pelancaran single pertamanya yang telah pon selesai dirakam di bawah label DM Records bertajuk Pemilik Segala. Dinie adalah seorang pemuda yang sangat istimewa dengan pesonanya yang tampan dan menarik serta kebolehannya bertutur dengan petah tanpa teks yang membuat audience kagum. Dia juga mempunyai suara yang lunak dan confident dalam melontarkan pandangannya sebagai seorang insan istimewa dalam mengharungi cabaran hidup di ibu kota Kuala Lumpur. Dia mengalami cacat penglihatan ketika berumur 9 tahun dan bercita cita menjadi seorang juru terbang. Namun akibat penyakit yang dihidapi, cita cita itu tidak kesampaian. Beliau juga fasih merujuk kepada kata kata hikmah imam imam besar mengenai mensyukuri nikmat yang dikurniakan Allah kepada hambaNya.

Sesi ini diikuti dengan persembahan nyanyian oleh beliau dan lagu lagunya bertajuk Rapuh (lagu popular Opick), Padamu Ku Bersujud (lagu popular Afgan) dan lagunya sendiri Pemilik Segala yang telah dirakamkan dan menanti untuk dilancarkan. Selesai setiap lagu yang disampaikannya, beliau menyampaikan tazkirah berdasarkan lirik lagu tersebut yang sangat menyentuh perasaan audience.

Seorang lagi pemuda yang diperkenalkan kepada audience ialah Rashidi Abdullah berumur 24 tahun yang menjadi buta semasa berumur 17 tahun dan pada ketika itu beliau akan mengambil peperiksaan SPM. Beliau seorang anak peneroka dari rancangan Palong Negeri Sembilan dan dalam jurusan Sains ketika itu seorang remaja yang pandai dan mempunyai potensi besar untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti. Cacat penglihatan beliau adalah akibat penggunaan ubat mata yang berlebihan akibat daripada penglibatannya dalam bidang sukan yang menjadikan matanya sentiasa kering. Beliau sangat aktif dalam bidang sukan ketika itu. Doktor mengesahkan dalam sedikit masa lagi beliau akan terus menjadi buta di tahap B1. Selama 2 tahun setelah di diagnos oleh doktor beliau menghadapi tekanan dan tidak mahu keluar rumah. Sehinggalah beliau belajar di tempat yang sama dengan Dinie iaitu Gurney Training Centre, Malaysian Association for The Blind, Brickfield, KL. Beliau mempunya hobi yang istimewa iaitu fotografi. Walaupun cacat penglihatan, beliau membelanjakan wang untuk membeli kamera DSLR kerana menurutnya walaupun penglihatannya masih ada sedikit beliau akan meneruskan hobinya dalam bidang fotografi bersungguh sungguh.

Melalui program ini aku bersyukur kerana telah dapat melatih kedua dua remaja cacat penglihatan ini untuk bersedia berkongsi pengalaman hidup tanpa rasa malu dan segan dan belajar untuk menyentuh perasaan audience dengan nada suara dan pesona yang sungguh istimewa. Di ketiga tiga lokasi program ini dijalankan, aku dapat melihat betapa remaja lelaki dan perempuan yang mengikuti program ini telah dapat menghayati setiap aspek program ini dan pasti telah meninggalkan kesan yang mendalam kepada mereka yang masih mempunya sifat sifat yang sempurna dari segi fizikalnya. Program ini akan ku teruskan pada tahun hadapan meliputi seluruh institusi di mana terdapatnya remaja di bawah JKM dan juga di sekolah sekolah integriti di penjara penjara di bawah Jabatan Penjara Malaysia, InsyaAllah. Semoga usaha kecil ini mendapat ganjaran yang setimpal oleh Allah swt. Amin..

 Bacaan surah Ar Rahman



 Sesi temubual dengan Dinie dan Rashidi
 Persembahan nyanyian oleh Dinie

 Demonstrasi cara membantu OKU cacat penglihatan