Saturday, October 26, 2013

Mengenal Hati Budi Seorang Warga Emas - ditujukan khas untuk anak-anak muda zaman ini yg serba boleh dan berilmu......

Entah sejak kebelakangan ini aku merasa terpanggil untuk meluangkan banyak masa ku merenung kehidupan seorang warga emas terutama sekali disebabkan aku merasa semakin hari semakin di pinggir oleh keluarga dan masyarakat. Mungkin inilah yang akan terus menerus berlaku di akhir zaman ini.

Sejak kebelakangan ini dari pemerhatianku semakin ramai warga emas terutama sekali wanita yang mengidap berbagai-bagai penyakit terutama sekali sakit tulang seperti sakit lutut. Di masjid-masjid aku lihat fenomena ini bukan saja di negara ini bahkan di Masjidil Haram semasa aku menunaikan umrah tahun ini. Banyak terdapat kerusi diletakkan di ruang-ruang solat dan kalau jemaah datang lewat alamat menghadapi masalah dan solat dalam keadaan sakit dan tidak selesa. Tidak kurang juga jemaah yang membawa sendiri kerusi masing-masing untuk menyenangkan solat tetapi menimbulkan pula masalah semasa hendak tawaf dan sai.

Aku bercita-cita untuk mengadakan satu sesi dan LPPKN atau NCWO yang akan memberi ruang dan peluang bagi orang-orang seperti aku berkongsi pengalaman hidup di usia ini dan menceritakan cara yang kreatif untuk mengelak dari terjerumus ke dalam kancah kemurungan di usia ini. Ini kalau di dalam program ESQ dinamakan SHARING.

Seperti yang kawan-kawan sedia maklum aku dahulu adalah seorang yang super aktif bukan saja dalam tugas rasmi ku tapi dalam NGO dan dalam kehidupan seharian. Bayangkan sekarang aku sudah pum masuk ke zone yang kurang selesa untuk berjalan apatah lagi hendak bergaya hidup aktif. Dulu aku ke gym Fitness First 3 kali seminggu dan beberapa bulan sekali aku akan menganjurkan KEMBARA dan mempelawa teman-teman yang seusia menjelajah ke beberapa tempat seperti naik gunung, masuk ke hutan. Tempat-tempat saperti GUA MULU di MIRI menyusur SUNGAI KINABATANGAN, ke TAMAN NEGARA , ke BELUM dan ke GUA NIAH dan yang terakhir sebelum sakit lutut melanda hidup ku kami masuk ke BAKO NATIONAL PARK di SARAWAK. Bahkan pada satu ketika aku teringin sangat hendak mendaki Gunung Kinabalu tetapi tidak ada rezeki kerana mengalami kecederaan di kaki yang agak teruk dan ia berlaku dua kali di sebelah kaki yang sama. Mulai hari itu aku tidak lagi dapat meneruskan KEMBARA melihat keindahan alam semula jadi ciptaan ALLAH . Semuanya hanyalah merupakan memori indah dalam hidup ku.

Bercerita mengenai kehidupan seorang warga emas seperti aku yang pernah menjadi Ketua Jabatan dan terkenal sangat aktif dan sentiasa punya cara tersendiri untuk membuat warga jabatan seronok dalam pekerjaan, aku terasa benar apabila kini perlu sekali sekala berurusan dengan jabatan-jabatan kerajaan.

Kalau dulu setiausaha atau PA yang membantu sekarang semuanya perlu dibuat sendiri. Dari mencari nombor jabatan-jabatan yang hendak dihubungi kepada merasa bagaimana dilayan oleh penjawat awam yang tidak mesra pelanggan. Sakit rasanya kerana itulah salah satu program yang aku pentingkan semasa jadi Ketua dahulu bahawa klien kita itu perlu dilayan dengan sopan dan mesra. Hakikatnya sekarang keadaan sungguh berbeda. Mereka memang bukan saja tidak mesra kadang-kadang sungguh tidak sopan meninggikan suara dan berlagak.

Dari situ aku beralih pula dengan kehidupan seharian ku. Sebagai warga emas kita perlu tahu dan faham akan keadaan badan dan tahap kesihatan kita bukan saja dari segi fizikal tetapi dari segi emosi dan spiritual.Kita perlu tahu immune system kita semakin hari semakin merosot di samping tahap kesihatan seperti keadaan mata yang kerap menjadi kabur, rupanya tanpa di sedari mengalami cataract dan telinga semakin hari semakin kurang pendengaran di tambah pula badan setiap kali kita bangun pagi akan berasa lenguh yang teramat sangat, memori yang juga tidak sebaik dulu. Kita mula lupa akan perkara-perkara yang baru saja dilakukan tetapi perkara-perkara dan peristiwa-peristiwa bertahun-tahun dulu masih segar dalam ingatan.

Dari segi emosi pula apabila anak-anak sudah meninggalkan kita untuk hidup sendiri dengan famili masing-masing kita mungkin tinggal keseorangan.Kita mula rasa kurang selamat tinggal seorang diri walau pun setengah dari kita masih mampu punya BIBIK untuk jadi teman dan pembantu.Waktu-waktu senja ramai diantara kita merasa sunyi sepi dan sedih dan kalau anak menantu dan cucu tidak datang menjengok dan tidak juga menelefon kita pasti kita akan rasa sayu dan sedih. Perasaan ini akan lebih dirasa oleh wargaemas wanita yang memang tidak digalak untuk sembahyang berjemaah di masjid dan tidak pula punya teman hidup yang mungkin sudah meninggal dunia atau meninggalkan kita untuk mencari kebahgiaan dengan teman hidup baru dan lebih muda.......

Ketika itu apa yang harus kita lakukan. Aku punya cara tersendiri dalam mengharung situasi ini. Berbekal sedikit ilmu agama aku perpegang kepada pendirian HASBUNALLAH WANIKMAL WAKIL NIKMAL MAULA WANIKMANNASIR yang bermakna ALLAH lah sebaik-baik penolong dan sebaik-baik pelindung dan bahawa ALLAH jugalah yang sentisa melimpah dan mencurahkan kasih sayang Nya yang tak pernah putus dan padam dan bahawa CINTA kepada ALLAH itulah yang dapat membahagiakan kita. Kasih manusia akan semakin lama semakin sedikit dan berkurangan. Anak-anak akan terperangkap dalam kesibukan berkerja dan berkeluarga. Suami pula akan lama-lama semakin bosan dengan rupa kita yang sudah tidak cantik saperti dulu dan senang sangat diakhir-akhir ini tergoda dan digoda oleh wanita-wanita muda yang sangat suka bertemankan lelaki tua yang pada mereka sebaya dengan bapa dan ayah mereka. Wanita-wanita ni pada aku merupakam pejuang poligami bersama-sama dengan lelaki yang sangat suka mengikut SUNNAH ini.

Kadang-kadang apabila anak menantu dan cucu datang bertandang dan mereka mengajak kita keluar makan-makan apa yang lazim ku lihat pula ialah apabila turun saja dari kereta mereka sekeluarga akan berjalan dan lansung tidak prihatin kepada warga emas yang turut serta itu yang terkial-kial berjalan perlahan-lahan dibelakang.Apalah salahnya berjalan sama-sama dan bermesra dengan ibu dan bapa ini sambil berjalan menuju lokasi tempat makan itu.

Kalau aku ke pasar raya pula aku lebih suka pergi seorang diri kadang-kadang naik kerusi roda ku. Semasa parking pula walaupun ada parking lot untuk OKU tetapi seperti biasa orang-orang Malaysia kebanyakannya tidak prihatin terhadap OKU dan dengan selesa mereka menggunakan parking lot itu tanpa rasa bersalah walaupun kereta ku terpampang sticker OHU di cermin hadapan dan belakang!!!
Di manakah silapnya aku dan kita yang menjadi ibu dah ayah mendidik anak-anak sehingga kita dapati orang-orang muda yang tidak prihatin dan kadang biadap terhadap warga emas.

Aku berharap Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang diterajui oleh YB Dato Rohani dapatlah menangi isu-isu ini terutama sekali ketika ini kita sedang dalam peringkat AGING dari segi kependudukan.Kita punya MAJLIS WARGAEMAS dan JKM yang bertanggungjawab dan kliennya warga emas. Aku berdoa satu hari nanti pemimpin-pemimpin malaysia akan mengorak langkah untuk menangani isu-isu berkaitan warga emas ini kerana semua orang akan satu hari nanti ditelan masa dan usia juga. Aku ingin mempelopori satu inisiatif untuk membanyakkan seminar forum kelas-kelas diskusi dengan bantuan Ustaz-Ustaz melalui kaca TV dan Media Sosial agar dapat membantu warga emas dalam menghadapi sisa hidup dengan berkualiti dan punya harga diri yang tinggi hingga lahirlah kumpulan warga emas yang dinamakan THE SELF EMPOWERED SENIORS.AMIN.......

No comments:

Post a Comment